Sunday, April 4, 2010

Tidak cukup syarat...

Peraturan ialah sesuatu yang perlu dipatuhi dalam melaksanakan sesuatu tugas. Biasanya ia menjelaskan apa yang patut dibuat dari mula hingga akhir sehingga tugas itu selesai dengan sempurna. Mana-mana peraturan yang tidak dipatuhi kemungkinan besar menjejaskan kesempurnaan tugas yang diamanahkan.

Peraturan biasanya wujud dalam dua 'dunia': abstrak dan nyata. Kalau diperhatikan apa yang dilakukan semasa solat, ia bermula dengan niat (abstrak), yang juga boleh dikategorikan sebagai doa. Niat bertujuan menfokuskan apa yang akan dilaksanakan seterusnya. Bermula dari takbir hinggalah salam terakhir, semuanya pergerakan fizikal (nyata), yang juga boleh dikategorikan sebagai 'usaha'.

Banyak kali kita perhatikan banyak yang diusahakan tidak mencukupi syarat 'niat' dan 'usaha'. Kalau ada masalah dengan anak, suami atau isteri, rakan-rakan banyak usaha penyelesaian hanya dalam bentuk 'niat' sahaja, biasanya dalam bentuk doa semata. Bukan maksudnya doa tidak perlu tetapi usaha ke arah mencapai doa perlu juga dititik beratkan.

Anak malas belajar, dibaca doa supaya anak rajin tanpa dilakukan 'usaha' fizikal bagaimana cara belajar dengan berkesan dan menyeronokan. Tidak disusuli dengan kaedah belajar secara 'smart', tiada juga teknik belajar yang diamalkan oleh orang yang telah berjaya, mana munasabah doa akan dimakbulkan.

Suami isteri bermasalah diberi doa untuk meredakan kemarahan atau masalah, tanpa disusuli dengan mempelajari teknik komunikasi berkesan bagaimana menyelesaikan masalah yang timbul. Masalah yang dihadapi tidak dicari punca dan dikenalpasti sebab utamanya. Mana mungkin kita mencari sesuatu jika tidak tahu dimana tempatnya.

Masalah dengan rakan-rakan boleh diatasi dengan doa DAN usaha mempelajari dan mengamalkan teknik komunikasi di antara insan (human communication skills). Setakat kita berdoa tanpa berterus terang apa masalah kita dengan mereka sulit untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Doa sahaja tanpa tindakan susulan biasanya lambat berkesan, seolah-olah tidak cukup kedua-dua syarat itu. Semua syarat perlu dipatuhi barulah impian dapat dikabulkan...insyaAllah.

No comments: